Salammusik Terpaksa Batal 9 Festival Muzik Di Eropah Akibat Covid-19
Berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia baru-baru ini, Salammusik terpaksa membatalkan jelajah Eropah yang telah dijadualkan pada tahun ini biar pun telah mengesahkan penyertaan mereka di dalam sembilan festival utama di sana.
Keputusan ini terpaksa diambil memandangkan pembatalan serta penundaan acara dan festival muzik di seluruh dunia disebabkan wabak ini.
Walau bagaimanapun, kebanyakan festival muzik ini telah mengesahkan akan tetap mengadakan acara mereka pada tahun hadapan selepas pandemik ini beransur pulih.
“Kami terpaksa batal jelajah Eropah namun semua sembilan festival muzik ini tetap akan berlangsung pada tahun hadapan mengikut seperti mana ketetapan oleh pihak penganjur,” kata Acap mewakili Salammusik.
Sementara itu, bagi meraikan ulangtahun pertama penghasilan album fizikal mereka yang berjudul Riwayat, kumpulan Salammusik telah mengeluarkan salah satu single daripada album itu, Menyemai Kemungkinan menerusi platform digital.
Salammusik yang terkenal dengan lagu-lagu hits seperti Aku Pelat, Bangkit dan pelbagai lagu lain sentiasa mengangkat dan menyemarakkan elemen dan irama tradisional Malaysia di dalam naskah mereka.
“Kami sentiasa menghargai elemen muzik tradisional yang menjadi khazanah negara dan akan sentiasa mengketengahkan elemen ini untuk dikongsi bersama generasi muda dan pada masa yang sama masih lagi disulami dengan rentak-rentak moden agar kekal relevan”, katanya.
Menyemai Kemungkinan telah dijadikan lagu tema bagi filem aksi seni mempertahankan diri, Geran dan peminat boleh melayari lagu versi asal tersebut di semua platform digital seperti i-Tunes dan Spotify.
“Selepas pelancaran album fizikal yang pertama, Riwayat, kami mulai sibuk dengan aktiviti jelajah di seluruh negara dengan persembahan di Johor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Ipoh. Kami sangat berbesar hati dengan sambutan menggalakkan yang telah diterima menerusi peminat dan penyokong muzik kami dari Malaysia. Di samping itu juga, kami berasa amat teruja dengan undangan untuk melakukan persembahan di festival-festival utama di Eropah khususnya,” ujarnya lagi.
The post Salammusik Terpaksa Batal 9 Festival Muzik Di Eropah Akibat Covid-19 appeared first on KopiPlanet.com.